Sekolah ini terletak di kawasan permatang (tanah tinggi) di kawasan sawah padi dan dibina atas usaha Tn. Hj. Hassan B. Ibrahim iaitu Ketua Kampung pada masa itu bersama Penghulu Mukim Tok Abdullah dengan mencari kayu hutan (kayu bulat) untuk membina bangsal tempat murid belajar, tetapi dirobohkan pada tahun 1936.
Pada tahun 1937 Kerajaan Inggeris telah membina sebuah bangunan baru JKR 400 berukuran 100 kaki X 24 kaki beserta dua buah rumah guru tetapi masih belum dapat menampung bilangan murid yang datang belajar masa itu. Dalam tahun 1939 ditambah satu lagi bangunan berukuran 72 kaki X 24 kaki. Dalam tahun 1951 bilangan murid semakin bertambah dan terpaksa menumpang di madrasah sekolah agama rakyat seramai 68 orang (tahun 5 dan 6) sehingga tahun 1968, 4 kelas terpaksa menumpang di madrasah tersebut. Pada tahun 1969 satu bangunan tambahan dibina tetapi masih tidak dapat menampung bilangan murid yang belajar di sekolah ini dan persekolahan terpaksa diadakan sesi pagi dan petang. Dalam tahun 1974 satu bangunan baru dua tingkat dibina dan digunakan sepenuhnya pada 5.1.1976 dan dirasmikan oleh Tan Sri Ghazali B Jawi, Menteri Besar Perak pada masa itu.
Perhubungan ke sekolah pada tahun 1935 hanya melalui batas(ban) tali air sahaja, dengan menggunakan basikal atau berjalan kaki. Pada tahun 60-an jalan dibesarkan bagi membolehkan basikal dan motosikal melalui jalan ini ke sekolah. Dalam tahun 80-an, jalan ditabur dengan batu kerikil dan boleh dilalui oleh kereta kerana sebuah klinik desa dibina di kawasan berhampiran sekolah. Pada tahun 90-an barulah jalan diturap dengan tar bagi memudahkan perhubungan sekolah dan penduduk setempat serta penduduk Kampung Sungai Manik amnya.Penduduk setempat terdiri dari kaum petani yang purata pendapatannya antara RM250.00 sehingga RM500.00 kerana hasil pertanian disini hanya untuk sara hidup bukannya komersial. Majoriti penduduk di sini adalah terdiri daripada suku kaum Banjar dan penggunaan bahasa harian adalah bahasa suku Banjar. Pendapatan dan pencarian penduduk kampung ini bergantung kepada hasil padi, menangkap ikan dan bekerja sebagai buruhdi ladang-ladang dan kilang-kilang yang berhampiran.
Diantara bekas murid yang menjadi idola sekolah ini ialah Mantan Menteri Besar Perak iaitu Dato Seri Tajol Rosli Bin Ghazali yang belajar di sekolah ini sehingga Tahun 3 sebelum memasuki kelas khas Inggeris di Horley Methodist Teluk Intan dan Pn. Hjh. Salamiah Bt. Hj. Hamzah, Mantan Dekan Pengajian Bahasa Melayu Universiti Malaya serta banyak lagi pelajar dari sekolah ini yang telah berjaya ke menara gading dan menjadi ahli profesional di bidang tertentu.